Internet & Kehidupan

Pesanan dari mimbar Jumaat

Hari ini mimbar masjid telah menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk ILMU. Seperti biasa mimbar Jumaat mengingatkan khatib sendiri dan para jemaah supaya bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan benar-benar taqwa. Taqwa dalam erti kata takut kepada Allah S.W.T dengan menuruti segala titah perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Dengan tajuk ini mimbar memulai dengan menyampaikan sebuah hadis Riwayat As-Syafie yang menyatakan Rasulullah S.A.W bersabda.

” Jika kamu ingin memiliki DUNIA mestilah dengan ILMU, jika kamu ingin memiliki AKHIRAT juga dengan ILMU dan jika kamu ingin memiliki kedua-dua juga dengan ILMU”.

Islam mewajibkan seluruh umatnya agar istiqamah (tetap dan berterusan) dalam menuntut ilmu. Hadis sahih ada menyebut “Thalabulilmi farithatan a’lakulli muslim” yang bermaksud “menuntut ilmu itu adalah fardu bagi orang muslim (Islam)”.

Mimbar juga mengingatkan supaya orang Islam diwajibkan mempelajari dan memahami 3 ilmu asas dalam Islam seperti AQIDAH,FARDHU AIN dan juga AKHLAK atau TASAWWUF.

Berkenaan dengan ilmu AQIDAH ia dapat menyempurnakan tanggungjawab kita supaya dapat mendalami dan mendidik ahli keluarga kita seperti isteri dan anak-anak serta kaum kerabat kita. Dengan ilmu aqidah ini kita dapat membimbing generasi sekarang dan seterusnya supaya memiliki aqidah yang kukuh.

Menguasai ilmu FARDHU AIN seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah perlu untuk kita supaya sentiasa mengingati Allah dan berpegang pada perintahNya. Khatib menyatakan bahawa Fardhu Ain sentiasa boleh dituntut di mana-mana masjid dan surau yang terdekat dan mengajak para jemaah supaya datang ke masjid. Jangan kerana kita rasa dah ada pendidikan yang tinggi, berjawatan besar tak kiralah kita cendikiawan sekali pun perlu menuntut dan menguasai ilmu fardhu ain ini.

Ilmu AKHLAK juga dapat membendung kita supaya sentiasa bersikap baik sesama manusia. Akhlak dapat disempurnakan dengan penguasaan ilmu AQIDAH dan FARDHU AIN tadi.

Khatib menyatakan dengan Ilmu lah dapat meletakkan di mana darjat kita kerana Ilmu adalah yang pertama kemudian Amal dan Iman adalah mendahului kedua-duanya.

Mimbar Jumaat juga berpesan supaya menyampaikan kewajipan menuntut ilmu ini kepada seluruh umat Islam dan menwarwarkannya.

-SEKIAN-

(Apa yang disampaikan adalah apa yang saya ingat. Sekadar ingin berkongsi dan dapat ingat-mengingat sesama manusia amnya dan diri saya sendiri khasnya)



Surah Al-Asr :-
"Demi masa.Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.Dan berpesan dengan kebenaran.Dan berpesan-pesan dengan jalan yang sabar".

Post a Comment

Sila lontarkan komentar anda. Terima kasih.

Instagram

© Internet & Kehidupan