Internet & Kehidupan

Luahan rasa Pengkid

Slot ini di ambil dari http://www.hmetro.com.my bertarikh hari ini.

DANG SETIA

JIKA anda berdepan pelbagai masalah, sama ada pelajaran, rakan sebaya, keluarga, alam percintaan atau menjalani kehidupan seharian, anda boleh mengemukakannya kepada kami. Insya-Allah Dang Setia akan berusaha meleraikan permasalahan itu.Hantarkan masalah kepada :

Dang Setia (Metro Ahad), 31, Balai Berita Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
Faksimili : 03-22848390
E-mel: dangsetia@hmetro.com.my

_____________________________________________________________________

Luahan rasa Pengkid (daripada "Pengkid Dalam Dilema")

PERTAMA sekali, saya ingin menyuarakan ketidakpuasan hati saya terhadap akhbar ini yang selalu menyiarkan isu pengkid. Sudah tidak ada masalah lainkah untuk dijadikan isu semasa?

Saya juga pengkid, jadi saya ingin menyuarakan komen mengenai isu pengkid ini untuk tatapan semua pembaca. Pengkid wujud kerana sikap lelaki juga.
Ada di antara pengkid dulunya wanita normal tetapi mereka mengubah cara hidup untuk menjadi seperti lelaki selepas dikecewakan berkali-kali daripada segi zahir dan batin oleh lelaki.

Mereka menghambakan diri kepada lelaki tetapi akhirnya diludah oleh lelaki. Memang tak semua begitu tetapi kebanyakan dan saya percaya melebihi 60 peratus begitu.

Jika seseorang ingin berubah, ia perlu datang daripada hati mereka sendiri. Tak guna mereka dipaksa. Jika seorang pengkid dipaksa berubah menjadi wanita normal dan dipaksa berkahwin tidakkah anda semua terfikir ia bakal menyiksa si lelaki yang menjadi suami mereka?

Bukankah rumah tangga mereka juga akan binasa? Bolehkah ini dikatakan menyelamatkan institusi keluarga? Saya ada seorang rakan pengkid yang ingin berubah dan berkahwin tapi akhirnya rumah tangga mereka musnah kerana hati dan nalurinya bukan untuk lelaki.

Bukankah itu menambah dosa kepada dirinya kerana derhaka terhadap suaminya. Setiap orang diberikan hati dan otak untuk berfikir, jadi berilah masa kepada kami untuk berfikir. Biar kami tentukan sendiri bila dan bagaimana kami nak berubah.

Ada di antara pengkid berjaya menyelamatkan wanita yang kecewa dengan cinta dan rumah tangga daripada membunuh diri. Ini kerana kami lebih memahami mereka.

Hakikatnya, banyak lagi masalah lain yang membelenggu negara kita, antaranya kes buang anak, bohsia dan mat rempit, seks rambang dan pelacuran, lelaki dan wanita tinggal serumah tanpa ikatan.

Bukankah semua kes ini lebih berat tapi kenapa isu pengkid yang tak banyak membawa masalah kepada negara harus dibangkitkan. Jika pengkid dihapuskan bolehkah kita menyelamatkan gadis-gadis Malaysia daripada menjadi ibu pada usia muda, membuang bayi dan menjadi pelacur?

Hak masing-masing untuk berpakaian seperti apapun. Kenapa tidak ditangkap mereka yang berpakaian seksi dan menjadi ikutan hingga terjadinya gejala rogol.

Fikirlah anda semua kerana pengkid juga manusia biasa dan mereka dilahirkan bersama naluri ini. Kami tidak minta untuk jadi seperti ini tetapi naluri kami membuatkan kami terpaksa jadi begini.

Sejak saya kecil saya sudah seperti ini. Naluri ini lahir secara semula jadi dan bukan kami cari sendiri. Bukan mudah untuk kami mengubah cara kami ini. Ia sama seperti memaksa lelaki sejati untuk bertukar menjadi wanita.

Ada hikmah mengapa Tuhan mencipta makhluk seperti kami. Kami adalah petanda dunia sudah hampir kiamat. Kami peringatan untuk manusia lain beringat-ingat. Kami bukan ingin dibelenggu dosa. Satu hari kelak Allah akan memberi hidayah dan kami akan terima dengan hati terbuka.

Pesanan terakhir saya kepada rakyat Malaysia, jangan menyalahkan golongan ini 100 peratus. Selamatkan dulu anak gadis anda dan adik perempuan anda yang menjadi aset pemuas nafsu lelaki, menjadi pembunuh bayi tidak berdosa dan bermacam-macam lagi.

Bagaimanapun, bagi pengkid yang mengganggu rumah tangga orang lain, mereka harus diberi pengajaran. Saya bukan ingin mencabar fatwa tetapi tindakan yang diambil tidak dapat mengubah apa-apa.

Saya berkata begitu kerana ada juga di kalangan kawan-kawan wanita saya yang bertudung ketika berdepan dengan masyarakat tetapi di rumah mereka ada kekasih dan hidup seperti suami isteri.

Apa gunanya semua itu? Saya sarankan rakyat Malaysia jangan terlalu pening kepala dengan isu ini kerana banyak lagi masalah lain yang perlu difikirkan.

JAWAPAN Kak Dang Setia

Terlebih dulu Dang Setia mengucapkan terima kasih kepada saudari kerana mengikuti ruangan ini dan menjadikannya saluran untuk saudari memberi pendapat serta maklum balas mengenai isu pengkid yang hangat diperkatakan sekarang daripada kaca mata seorang pengkid sendiri.

Dang Setia amat memahami pendirian dan apa yang saudari hujahkan, biarpun Dang Setia bukan seorang pengkid. Ini kerana kerjaya dan pergaulan Dang Setia sering menemukan Dang Setia dengan pelbagai golongan yang dipandang negatif oleh masyarakat.

Bukan sekadar pengkid, tapi Dang Setia juga pernah berbual dan mendengar luahan daripada mak nyah, penagih dadah, gay, penjenayah, mangsa sumbang mahram, bohsia dan juga pelacur.

Jauh di sudut hati bukannya Dang Setia tidak simpati kepada saudari dan juga golongan lain yang dinyatakan di atas, namun apa yang dapat dirumuskan, kalian semua melihat serta menilai apa yang berlaku daripada pemikiran sendiri.

Inilah yang silapnya. Sepatutnya, kita perlu melihat dan menilai sesuatu berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Allah. Sebagai umat Islam, ini wajib kita lakukan dan tidak boleh mempertikaikannya.

Oleh itu, biarpun Dang Setia faham serta simpati dengan keluhan pengkid, penagih dadah, gay, pelacur dan sebagainya, Dang Setia tidak boleh bersetuju dengan cara hidup mereka dan mengatakan apa yang mereka buat itu betul.

Bila Allah mengatakan semua perbuatan itu salah, Dang Setia wajib mengikut garis panduan itu. Dang Setia tidak mahu mempertikaikan kenapa Allah kata gejala itu salah kerana Dang Setia yakin tindakan Allah mesti betul untuk kebaikan umat manusia keseluruhannya.

Ini bermakna, biar apa keadaan atau kesusahan sekalipun seseorang Islam itu tidak boleh menjadikannya alasan untuk menghalalkan apa yang diharamkan Allah. Faktor seperti kemiskinan, desakan hidup, terpaksa dan naluri semula jadi, itu semua tidak boleh dijadikan alasan.

Saudari mengatakan pengkid bukan meminta mereka dijadikan begitu tapi mereka terpaksa kerana keadaan sekeliling dan sebagainya, hakikatnya begitu jugalah hujah yang diberikan pelacur, mak nyah, gay, penagih dadah dan lain-lain.

Jika Dang Setia atau anggota masyarakat lain menerima hujah dan alasan saudari untuk menghalalkan gejala pengkid, ia bermakna kami juga perlu menghalalkan semua kegiatan tidak bermoral lain. Jika itu berlaku, bermakna kita semua melanggar dan mencabar hukum Allah.

Dang Setia tidak mahu termasuk dalam golongan itu kerana sedar betapa kerdilnya diri di sisi Allah. Justeru, Dang Setia berharap saudari juga begitu dan tidak sombong untuk mengatakan: “Kami adalah petanda dunia sudah hampir kiamat. Kami peringatan untuk manusia lain beringat-ingat.”

Ungkapan sedemikian bermaksud saudari rela untuk menerima hukuman Allah di akhirat kelak dan ia kononnya satu pengorbanan kepada manusia lain supaya beringat-ingat kerana dunia sudah akhir zaman.

Saudari, nasihat ikhlas Dang Setia, buka al-Quran dan buku agama untuk mencari maklumat mengenai keadaan di neraka serta azab Allah kepada makhluknya yang ingkar. Sesungguhnya ia amat menyakitkan dan sukar untuk diceritakan seksaannya. Jadi, jangan sekali-kali kita menganggap ini semua perkara enteng.

Lebih menakutkan, Allah juga sudah menyatakan di dalam al-Quran jika dalam satu kelompok masyarakat berleluasa kegiatan yang dilarang Allah, Allah akan menurunkan bala ke atas mereka. Bala ini bukan sekadar ke atas mereka yang ingkar tetapi kepada semua manusia di kawasan itu.

Maksudnya, jika gejala pengkid, gay, pelacuran dan sebagainya berleluasa di Malaysia, kita bimbang Allah akan turunkan bala. Jika bala Allah berlaku, bukan hanya kepada saudari dan ‘rakan seangkatan’ saudari tapi kami juga akan kena. Sebab itulah kami wajib untuk ‘menyibuk’ dengan apa yang saudari dan rakan-rakan lakukan.

Saudari, Allah yang mencipta kita, jadi dia tahu apa yang baik dan buruk untuk kita. Mungkin saudari akan mempersoalkan jika Allah mengatakan pengkid, mak nyah dan gay itu salah mengapa Allah menciptakan manusia dengan naluri dan penampilan songsang begitu?

Jawapannya, ia sebahagian ujian Allah kepada mereka termasuk saudari. Allah menguji saudari kerana ingin meningkatkan martabat saudari di sisi-Nya. Jika saudari berjaya menghadapi ujian itu dengan keimanan tinggi dan mampu juga menepis hasutan syaitan yang sentiasa menyesatkan, semakin tinggilah martabat saudari di sisi Allah.

Ganjaran kepada saudari ialah syurga dan kebahagiaan yang hakiki di akhirat kelak. Di situlah matlamat kehidupan kita yang sebenarnya kerana segala yang berlaku di dunia ini hanyalah sementara dan cuma laluan untuk kita menuju ke sana.

Manusia normal lain tidak menerima ujian Allah itu. Justeru, mereka hilang satu peluang untuk dinaikkan martabat oleh Allah dan hilang peluang untuk mendapat ganjaran di akhirat kelak.

Maksudnya, dalam kehidupan di dunia mereka mungkin bahagia kerana mereka normal, tapi di akhirat belum tentu mereka mendapat ganjaran yang baik jika mereka tidak menghargai ‘kenormalan’ itu atau ‘kenormalan’ itu menyebabkan mereka tidak bersyukur, lantas tergelincir daripada landasan hidup yang digariskan Islam.

Saudari, Allah mengharamkan gejala homoseksual dengan alasan kukuh. Merosakkan institusi keluarga dalam konsep lebih luas bermaksud tidak mahu umat Islam lenyap dan Islam lemah di muka bumi ini. Ini kerana, Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan, kemudian kita digalakkan berkahwin dan seterusnya melahirkan zuriat.

Semua itu ibadah dan melakukannya mendapat pahala. Tujuannya, apabila kita melahirkan zuriat dan kita didik mengikut acuan Islam, makan semakin ramailah umat Islam dan semakin kuatlah Islam di muka bumi ini. Namun, bagaimana itu semua boleh tercapai jika lelaki berkahwin lelaki dan perempuan berkahwin dengan perempuan?

Saudari juga mengatakan “hak masing-masing untuk berpakaian seperti apapun.” Kenyataan ini tidak benar kita diciptakan Allah dan diri kita juga milik Allah. Jadi, pakaian, makanan dan perbuatan kita wajib mengikut apa yang Allah suruh.

Bukti diri kita bukan milik kita ialah kita tidak mampu mencipta diri kita sebagaimana yang kita nak dan kita juga tidak boleh mengelak bila ajal menjemput kita. Yang berkuasa melakukannya adalah Allah, jadi sahlah diri kita milik Allah.

Akhir sekali, saudari juga ada mengatakan “beri masa kepada kami untuk berfikir, biar kami tentukan sendiri bila dan bagaimana kami nak berubah.”

Doa dan harapan Dang Setia, mudah-mudahan Allah memberi hidayah dan kesempatan untuk saudari berubah. Sesungguhnya, manusia itu sering lalai sedangkan maut sentiasa menghampiri.

Komen dari saya :- "SAMA-SAMALAH KITA FIKIR"


Surah Al-Asr :-
"Demi masa.Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.Dan berpesan dengan kebenaran.Dan berpesan-pesan dengan jalan yang sabar".

Post a Comment

Sila lontarkan komentar anda. Terima kasih.

Instagram

© Internet & Kehidupan